PANDUAN PEMAKAIAN PINGAT

Pakaian-Pakaian Rasmi Dan Panduan Memakai Darjah-Darjah Dan Pingat-Pingat Negeri Perlis.

Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat hanya boleh dipakai apabila Penerima Kurnia menghadiri majlis-majlis Istiadat Rasmi yang dianjurkan oleh Kerajaan dengan memakai pakaian rasmi. Pakaian yang ditakrifkan sebagai Pakaian Rasmi adalah sepertimana berikut:

  1. Pakaian Kebangsaan rasmi lengkap dengan baju melayu berwarna hitam berbutang lima, berseluar hitam, bersampin, berbekong dan bertengkolok serta berkeris pada siang hari dan tanpa keris pada waktu malam.
  2. Pakaian Rasmi Y.A.B Menteri Besar, Y.B Speaker Dewan Undangan dan Y.B Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri.
  3. Pakaian Rasmi Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan.
  4. Pakaian Rasmi Angkatan Tentera dan Polis DiRaja.
  5. "Mess Kit" untuk majlis rasmi malam.

KALUNG:

Kalung bagi sesuatu Darjah Kebesaran hanya boleh dipakai pada majlis istiadat seperti berikut:

  1. Istiadat Pertabalan Ke Bawah D.Y.M.M Tuanku Raja dan D.Y.M.M Tuanku Raja Perempuan.
  2. Hari Pemasyuran yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.
  3. Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Ke Bawah D.Y.M.M Tuanku Raja.
  4. Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri.

PERATURAN MEMAKAI KALUNG

Apabila memakai kalung bagi sesuatu Darjah Kebesaran, Selepang bagi Darjah yang sama tidak boleh dipakai. Tetapi selepang bagi Darjah yang lain boleh dipakai bersama jika seseorang Penerima Kurnia itu ada menerima pengurniaan Darjah Kebesaran yang lain. Bagaimanapun, jika sekiranya seseorang Penerima Kurnia itu ada menerima kurnia lebih daripada satu pengurniaan yang mempunyai kalung hanya satu kalung sahaja yang boleh dipakai satu-satu masa. Kalung hendaklah dipakai terletak diatas kedua bahu tergantung sama tinggi diatas dada dan disebelah belakang dengan Lencana Darjah tergantung di tengah-tengah dada. Jika memakai pakaian seragam, kalung hendaklah disusupkan ke bawah epolet.

PERATURAN MEMAKAI BINTANG:

Bintang bagi sesuatu Darjah Kebesaran hendaklah disematkan disebelah kiri dada lebih kurang di atas rusok. Pemakaian bintang hanya terhad kepada 3 Bintang sahaja bagi satu-satu masa sama ada dipakai dengan Baju Rasmi Kebangsaan, Pakaian Seragam atau Mess Kit. Apabila satu Bintang saja dipakai, ia hendaklah disematkan ditengah-tengah poket atas baju dengan penjuru Bintang itu yang paling atas sekali terletak kira-kira satu inci daripada mulut poket baju atau kedudukan yang sempurna bagi baju yang tidak mempunyai poket atau pun baju bagi wanita. Apabila dua Bintang dipakai pada satu-satu masa, Bintang yang tekanan disematkan di atas dengan kedudukan sepertimana memakai satu Bintang dan Bintang kedua disematkan di bawah Bintang pertama. Apabila tiga Bintang dipakai pada satu masa, bintang yang kedua dan ketiga hendaklah disematkan sama bahagi di bawah Bintang pertama sehingga menjadi bentuk tiga segi dengan Bintang tekanan sekali di atas dan yang kedua kanan di sebelah kanan hampir dengan tengah baju dan Bintang di sebelah kiri Bintang kedua. Jika sekiranya cara ini menganggu pemakaian Selepang, maka bolehlah Bintang pertama dan kedua disematkan sebaris dengan Bintang terkanan di sebelah kanan berhampiran dengan tengah baju dan Bintang ketiga di bawah.

PERATURAN MEMAKAI SELEPANG:

Selepang bagi Darjah Kerabat D.K.P atau Darjah Kerabat D.K hendaklah disangkut pada bahu kiri dan diselepangkan ke pinggang kanan. Lencana Darjah tersangkut pada bawah ikatan reben di hujung Selepang dengan lencana terletak tepat pada jalur seluar. Selepang bagi lain-lain Darjah Kebesaran tersangkut pada bahu kanan dan diselepangkan ke pinggang sebelah kiri. Apabila dipakai dengan pakaian seragam, Selepang itu hendaklah disusupkan di bawah epolet. Apabila dipakai dengan Pakaian Kebangsaan Rasmi, Selepang hendaklah disusupkan di bawah bengkong. Apabila Selepang Darjah Kerabat D.K.P atau Darjah Kerabat D.K dipakai dengan Pakaian Rasmi waktu malam, Selepang hendaklah bersangkut di bahu kiri berselepang ke pinggang kanan di bawah"Mess Kit" tetapi di atas benkong. Selepang bagi lain-lain Darjah Kebesaran dipakai di bawah "Mess Kit" disangkut dibahu kanan berselepang ke pinggang kiri di atas bengkong. Lencana Darjah digantung di bawah ikatan reben di hujung Selepang di paras pinggang.

PERATURAN MEMAKAI LENCANA LEHER: (Darjah D.P.P.J. ,D.P.S.J. DAN S.M.P.)

Darjah ini dipakai tergantung pada pita pendek terletak betul-betul di bawah butang baju kedua (dikira dari atas) apabila dipakai dengan Pakaian Kebangsaan Rasmi atau pakaian seragam. Jika dipakai dengan pakaian majlis rasmi malam atau "Mess Kit", Lencana Darjah hendaklah tergantung di bawah "Bow Tie". Hanya tiga Lencana leher boleh dipakai pada satu-satu masa dengan yang terkanan sekali digantung di sebelah atas dan dituruti dengan yang kedua dan ketiga di bawah.

PERATURAN MEMAKAI PINGAT-PINGAT

Pingat-Pingat hendaklah dipakai di atas dada sebelah kiri tergantung pada pitanya. Jika lebih dari satu, hendaklah disusun teratur dengan lurus dan yang terkanan sekali hampir dengan tengah baju. Pingat-Pingat hendaklah dipakai dengan permukaan sebelah hadapannya menghadap keluar. Jika Pingat-Pingat itu disusun tergantung pada satu palang panjang, hendaklah disusun bertindih antara satu sama dengan yang lain. Palang panjang itu pula hendaklah tidak lebih daripada 6 inci dan disematkan ditengah-tengah supaya kaki pingat itu betul-betul berada di atas butang baju atau kedudukan yang seumpama bagi baju yang tiada butang seperti baju Melayu atau baju bagi wanita. Apabila dipakai bersama dengan Darjah Kebesaran, Pingat-Pingat hendaklah diletakkan pada sebelah atas Darjah Kebesaran. Pingat-Pingat ukuran biasa hendaklah dipakai di waktu siang, manakala pada majlis malam dipakai anak bintang (miniatures).