Masa      Hari | Tarikh
 
 Login Pengguna

Jenis Sistem
Kata Pengguna
Kata Laluan
Daftar Pengguna Baru
Lupa Kata Laluan

 Pencalonan Online

Borang atas talian bagi pencalonan penerima pingat sedang DIBUKA sekarang dari 30-09-2016 hingga 15-01-2017

Panduan Pencalonan

Kaedah Pencalonan Online
 
 Hubungi Kami

Setiausaha,
Dewan Undangan Negeri
Aras 4, Kompleks Dewan Undangan Negeri
Jalan Persiaran Wawasan
01000 Kangar Perlis

No Tel: 04-973 8993 / 8994
No Fax: 04-977 1655
 
 Hit Pengunjung

Bilangan Pengunjung

Hari Ini: 36
Bulan Ini: 347
Keseluruhan: 58798
 
  HALAMAN UTAMA
   Berita Terkini !
Tiada berita terkini buat masa ini.
 

   E-Pautan


ANUGERAH DIRAJA

 

Seri Setia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (S.S.S.J.)

Anugerah ini membawa kepada gelaran Dato' Seri DiRaja.

 

Darjah Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (SPSJ)

Dikurniakan kepada penjawat awam dan sektor swasta yang berkhidmat dengan cemerlang kepada negeri Perlis. Anugerah ini membawa kepada gelaran Dato' Seri Setia DiRaja.

 

 

Seri Paduka Mahkota Perlis (S.P.M.P.) atau Al-Safi 1

Dikurniakan kepada mereka yang berkhidmat cemerlang kepada Negeri Perlis semasa memegang jawatan yang sangat berpengaruh dan tanggungjawab yang tertinggi bagi satu tempoh yang panjang. Merupakan penghormatan yang luar biasa terhadap pencapaian yang sangat tinggi. Anugerah ini membawa kepada gelaran Dato' Seri.

 

 

Dato' Setia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (D.S.S.J.)

Dikurniakan kepada mereka yang berkhidmat cemerlang kepada negeri Perlis. Anugerah ini membawa kepada gelaran Dato' Paduka.

 

Darjah Dato' Wira Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DWSJ)

Dikurniakan kepada mereka yang berkhidmat cemerlang kepada negeri Perlis. Anugerah ini membawa kepada gelaran Dato' Wira.

 

 

Dato' Paduka Mahkota Perlis (D.P.M.P.)

Dikurniakan kepada mereka yang cemerlang kepada Negeri Perlis. Mereka mempunyai pengaruh yang luas di dalam bidang masing-masing dan membawa kebaikan kepada Negeri Perlis. Anugerah ini membawa kepada gelaran Dato'.

 

 

Dato' Panglima Sirajuddin Jamalullail (D.P.S.J.)

Dikurniakan kepada mereka yang berkhidmat cemerlang kepada negeri Perlis. Anugerah ini membawa kepada gelaran Dato'.

 
DARJAH KEBESARAN

 

Darjah Setia Mahkota Perlis (S.M.P.)

Dikurniakan kepada mereka yang mempunyai kedudukan yang tinggi yang berjasa kepada Negeri Perlis. Mereka yang telah menjalankan tugas yang berat dan sukar dengan berjaya dan cemerlang selama satu tempoh yang panjang. Darjah ini sesuai dikurniakan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis atau setaraf dengannya.

 

Darjah Seri Sirajuddin Perlis (SSP)

Dikurniakan kepada mereka yang mempunyai kedudukan yang tinggi yang berjasa kepada Negeri Perlis. Mereka yang telah menjalankan tugas yang berat dan sukar dengan berjaya dan cemerlang selama satu tempoh yang panjang.

 

 

Darjah Ahli Mahkota Perlis (A.M.P.)

Dikurniakan kepada mereka yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada Negeri Perlis. Darjah ini sesuai dikurniakan kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Pegawai-pegawai Kerajaan Gred 2 atau setaraf dengannya.

PINGAT KEBESARAN

 

Pingat Mahkota Perlis (P.M.P.)

Pingat ini bolehlah dikurniakan kepada sesiapa yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang kepada Negeri Perlis. Pingat ini sesuai dikurniakan kepada Ketua-ketua Jabatan Gred 3, pemimpin-pemimpin masyarakat atau yang setaraf dengannya.

 

 

Pingat Keberanian Handal (P.K.H.)

Pingat ini bolehlah dikurniakan kepada sesiapa dalam Negeri Perlis ini yang telah menunjukkan keberanian handal di dalam sesuatu kejadian yang sangat-sangat membahayakan dirinya. Sesuai dikurniakan kepada anggota Polis, Tentera, Penjara, RELA atau setaraf dengannya.

 

 

Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T.)

Pingat ini bolehlah dikurniakan kepada sesiapa yang melakukan di dalam Negeri Perlis ini suatu perbuatan atau beberapa perbuatan pekerti yang terpilih di dalam keadaan yang membahayakan dirinya. Sesuai dikurniakan kepada anggota Polis, Tentera, Penjara, RELA, Bomba, pasukan yang beruniform atau setaraf dengannya.

 

 

Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.)

Pingat ini bolehlah dikurniakan kepada sesiapa yang telah melakukan jasa kebaktian kepada Negeri Perlis iaitu selain daripada perbuatan keberanian yang handal dan perbuatan itu ialah jasa dan taat setia kepada jawatannya termasuklah bekerja lama dengan menunjukkan kelebihan dan tingkah laku yang boleh diteladani. Sesuai dikurniakan kepada Pegawai Kerajaan Gred 3 hingga Gred 7 (Kumpulan A & B) dan pemimpin- pemimpin masyarakat atau setaraf dengannya.

 

 

Pingat Jasa Baik (P.J.B.)

Pingat ini bolehlah dikurniakan kepada sesiapa yang telah berkhidmat dengan cemerlang dan taat kepada negeri selain daripada jasa kebaktian kepada negeri. Sesuai dikurniakan kepada Pegawai-pegawai Kerajaan Gred 8 hingga Gred 11 (Kumpulan C & D) atau setaraf dengannya.

 

 

Pingat Perkhidmatan Lama (P.P.L.)

Pingat ini bolehlah diberikan kepada pegawai-pegawai Kerajaan yang berkhidmat tidak kurang daripada 25 tahun dan mempunyai rekod yang cemerlang semasa ianya berkhidmat dengan Kerajaan.

PANDUAN PEMAKAIAN PINGAT
 

Pakaian-Pakaian Rasmi Dan Panduan Memakai Darjah-Darjah Dan Pingat-Pingat Negeri Perlis.

Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat hanya boleh dipakai apabila Penerima Kurnia menghadiri majlis-majlis Istiadat Rasmi yang dianjurkan oleh Kerajaan dengan memakai pakaian rasmi. Pakaian yang ditakrifkan sebagai Pakaian Rasmi adalah sepertimana berikut:

1. Pakaian Kebangsaan rasmi lengkap dengan baju melayu berwarna hitam berbutang lima, berseluar hitam, bersampin, berbekong dan bertengkolok serta berkeris pada siang hari dan tanpa keris pada waktu malam.

2. Pakaian Rasmi Y.A.B Menteri Besar, Y.B Speaker Dewan Undangan dan Y.B Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri.

3. Pakaian Rasmi Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan.

4. Pakaian Rasmi Angkatan Tentera dan Polis DiRaja.

5. "Mess Kit" untuk majlis rasmi malam.

 

KALUNG:

Kalung bagi sesuatu Darjah Kebesaran hanya boleh dipakai pada majlis istiadat seperti berikut:

1. Istiadat Pertabalan Ke Bawah D.Y.M.M Tuanku Raja dan D.Y.M.M Tuanku Raja Perempuan.

2. Hari Pemasyuran yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

3. Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Ke Bawah D.Y.M.M Tuanku Raja.

4. Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri.

 

PERATURAN MEMAKAI KALUNG

Apabila memakai kalung bagi sesuatu Darjah Kebesaran, Selepang bagi Darjah yang sama tidak boleh dipakai. Tetapi selepang bagi Darjah yang lain boleh dipakai bersama jika seseorang Penerima Kurnia itu ada menerima pengurniaan Darjah Kebesaran yang lain. Bagaimanapun, jika sekiranya seseorang Penerima Kurnia itu ada menerima kurnia lebih daripada satu pengurniaan yang mempunyai kalung hanya satu kalung sahaja yang boleh dipakai satu-satu masa. Kalung hendaklah dipakai terletak diatas kedua bahu tergantung sama tinggi diatas dada dan disebelah belakang dengan Lencana Darjah tergantung di tengah-tengah dada. Jika memakai pakaian seragam, kalung hendaklah disusupkan ke bawah epolet.

PERATURAN MEMAKAI BINTANG:

Bintang bagi sesuatu Darjah Kebesaran hendaklah disematkan disebelah kiri dada lebih kurang di atas rusok. Pemakaian bintang hanya terhad kepada 3 Bintang sahaja bagi satu-satu masa sama ada dipakai dengan Baju Rasmi Kebangsaan, Pakaian Seragam atau Mess Kit. Apabila satu Bintang saja dipakai, ia hendaklah disematkan ditengah-tengah poket atas baju dengan penjuru Bintang itu yang paling atas sekali terletak kira-kira satu inci daripada mulut poket baju atau kedudukan yang sempurna bagi baju yang tidak mempunyai poket atau pun baju bagi wanita. Apabila dua Bintang dipakai pada satu-satu masa, Bintang yang tekanan disematkan di atas dengan kedudukan sepertimana memakai satu Bintang dan Bintang kedua disematkan di bawah Bintang pertama. Apabila tiga Bintang dipakai pada satu masa, bintang yang kedua dan ketiga hendaklah disematkan sama bahagi di bawah Bintang pertama sehingga menjadi bentuk tiga segi dengan Bintang tekanan sekali di atas dan yang kedua kanan di sebelah kanan hampir dengan tengah baju dan Bintang di sebelah kiri Bintang kedua. Jika sekiranya cara ini menganggu pemakaian Selepang, maka bolehlah Bintang pertama dan kedua disematkan sebaris dengan Bintang terkanan di sebelah kanan berhampiran dengan tengah baju dan Bintang ketiga di bawah.

PERATURAN MEMAKAI SELEPANG:

Selepang bagi Darjah Kerabat D.K.P atau Darjah Kerabat D.K hendaklah disangkut pada bahu kiri dan diselepangkan ke pinggang kanan. Lencana Darjah tersangkut pada bawah ikatan reben di hujung Selepang dengan lencana terletak tepat pada jalur seluar. Selepang bagi lain-lain Darjah Kebesaran tersangkut pada bahu kanan dan diselepangkan ke pinggang sebelah kiri. Apabila dipakai dengan pakaian seragam, Selepang itu hendaklah disusupkan di bawah epolet. Apabila dipakai dengan Pakaian Kebangsaan Rasmi, Selepang hendaklah disusupkan di bawah bengkong. Apabila Selepang Darjah Kerabat D.K.P atau Darjah Kerabat D.K dipakai dengan Pakaian Rasmi waktu malam, Selepang hendaklah bersangkut di bahu kiri berselepang ke pinggang kanan di bawah"Mess Kit" tetapi di atas benkong. Selepang bagi lain-lain Darjah Kebesaran dipakai di bawah "Mess Kit" disangkut dibahu kanan berselepang ke pinggang kiri di atas bengkong. Lencana Darjah digantung di bawah ikatan reben di hujung Selepang di paras pinggang.

PERATURAN MEMAKAI LENCANA LEHER:
(Darjah D.P.P.J. ,D.P.S.J. DAN S.M.P.)

Darjah ini dipakai tergantung pada pita pendek terletak betul-betul di bawah butang baju kedua (dikira dari atas) apabila dipakai dengan Pakaian Kebangsaan Rasmi atau pakaian seragam. Jika dipakai dengan pakaian majlis rasmi malam atau "Mess Kit", Lencana Darjah hendaklah tergantung di bawah "Bow Tie". Hanya tiga Lencana leher boleh dipakai pada satu-satu masa dengan yang terkanan sekali digantung di sebelah atas dan dituruti dengan yang kedua dan ketiga di bawah.

PERATURAN MEMAKAI PINGAT-PINGAT

Pingat-Pingat hendaklah dipakai di atas dada sebelah kiri tergantung pada pitanya. Jika lebih dari satu, hendaklah disusun teratur dengan lurus dan yang terkanan sekali hampir dengan tengah baju. Pingat-Pingat hendaklah dipakai dengan permukaan sebelah hadapannya menghadap keluar. Jika Pingat-Pingat itu disusun tergantung pada satu palang panjang, hendaklah disusun bertindih antara satu sama dengan yang lain. Palang panjang itu pula hendaklah tidak lebih daripada 6 inci dan disematkan ditengah-tengah supaya kaki pingat itu betul-betul berada di atas butang baju atau kedudukan yang seumpama bagi baju yang tiada butang seperti baju Melayu atau baju bagi wanita. Apabila dipakai bersama dengan Darjah Kebesaran, Pingat-Pingat hendaklah diletakkan pada sebelah atas Darjah Kebesaran. Pingat-Pingat ukuran biasa hendaklah dipakai di waktu siang, manakala pada majlis malam dipakai anak bintang (miniatures).

GAMBAR CARA PEMAKAIAN
 

Gambar Berpakaian Rasmi Menunjukkan Cara-Cara Memakai Darjah-Darjah Kebesaran Dan Pingat-Pingat (kecuali Darjah Kebesaran D.K.P. dan D.K.)


PAKAIAN MAJLIS RASMI HARI SIANG




Cara Memakai Kalung dan Selepang dengan Pakaian Rasmi Kebangsaan:

Kalung dipakai terletak di atas kedua bahu tergantung di atas dada dan disebelah belakang dengan Lencana Darjah tergantung di tengah-tengah dada. Selepang disangkut di bahu kanan diselepangkan menyusup di bawah bengkong ke pinggang kiri dengan Lencana Darjah tersangkut di bawah ikatan reben terletak tepat pada jalur seluar, manakala Bintang disematkan di tengah poket atas baju atau bertempat seakan-akannya. Pingat digantung pada pitanya dan disematkan pada dada sebelah kiri.

Pakaian lengkap bersampin, berbengkong dan bertengkolok serta berkeris (Warna pakaian mengikut sepertimana yang ditentukan di dalam Kad Jemputan)

 
 
 


 

Cara Memakai Selepang tanpa Kalung dengan Pakaian Rasmi Kebangsaan:

Selepang disangkut di bahu kanan dan diselepangkan menyusup di bawah bengkong ke pinggang kiri dengan Lencana Darjah tersangkut di bawah ikatan reben dengan Lencana terletak tepat pada jalur seluar; manakala Bintang disematkan di tengah poket atas baju atau bertempat seakan-akannya. Lencana Leher (Neck Order) hendaklah digantung kepada pita pendek terletak betul-betul di bawah butang kedua (dikira dari atas).

Pakaian lengkap bersampin, berbengkong dan bertengkolok serta berkeris (Warna pakaian mengikut sepertimana yang ditentukan di dalam Kad Jemputan)

 
 


Cara Memakai Kalung dan Selepang dengan Pakaian No.1
(Number One Dress):

Kalung dipakai terletak di atas kedua bahu disusup di bawah epolet tergantung sama tinggi di atas dada dan disebelah belakang dengan Lencana Darjah tergantung di tengah-tengah dada. Selepang disangkut di bahu kanan juga disusupkan di bawah epolet dan kalung dan diselepangkan ke pinggang kiri dengan Lencana Darjah tersangkut di bawah ikatan reben tepat pada jalur seluar; manakala Bintang disematkan di tengah poket atas baju atau bertempat seakan-akannya atau sepertimana tertera dalam gambar. Anak Bintang (miniature) digantung pada pita dan disematkan pada dada sebelah kiri.

Pakaian Rasmi No.1 lengkap dengan Epolet dan Georget

 
 
 


 

Cara Memakai Selepang tanpa Kalung Dengan Pakaian No.1 (Number One Dress):

Selepang disangkut di bahu kanan disusupkan di bawah epolet dan diselempangkan ke pinggang kiri dengan Lencana Darjah tersangkut di bawah ikatan reben tepat pada jalur seluar; manakala Bintang disematkan di tengah poket atas baju atau bertempat seakan-akannya atau sepertimana tertera dalam gambar. Lencana Leher (neck Order) digantung pada pita pendek terletak betul-betul di bawah Georget. Anak Bintang (miniature) digantung pada pita dan disematkan pada dada sebelah kiri.

Pakaian Rasmi No.1 lengkap dengan Epolet dan Georget

 



PAKAIAN MAJLIS RASMI MALAM


Cara Memakai Selepang dengan Pakaian rasmi Kebangsaan:

Selepang disangkut di bahu kanan menyusup di bawah bengkong dan diselepangkan ke pinggang kiri dengan Lencana Darjah tersangkut di bawah ikatan reben tepat pada jalur seluar; manakala Bintang disematkan di tengah poket atas baju atau bertempat seakan-akannya atau sepertimana tertera dalam gambar. Anak Bintang (miniature) digantung pada pita dan disematkan pada dada sebelah kiri.

Pakaian berwarna hitam lengkap bersampin, berbengkong dan bertengkolok.

 
 
 


 

Cara Memakai Selepang dengan Mess Kit:

Selepang disangkut di bahu kanan di bawah Mess Kit dan diselepangkan ke pinggang kiri atas bengkong dengan Lencana Darjah tersangkut di bawah ikatan reben terletak tepat pada jalur seluar; manakala Bintang disematkan di sebelah kiri dada lebih kurang di atas rusok. Lencana Leher (Neck Order) hendaklah digantung pada pita pendek tergantung di bawah "Bow Tie". Anak Bintang (miniature) digantung pada pita dan disematkan di dada sebelah kiri. PERHATIAN: Epolet dan Bengkong serta Crest yang dipakai di dalam gambar ialah Epolet dan Bengkong PTD dan Federal Crest dan perlu diselaraskan.

Pakaian Mess Kit lengkap dengan Epolet dan Bow Tie serta Bengkong (Baju dalam (inner shirt) hendaklah baju kemeja lengan panjang berwarna putih)

 
 
Sistem Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran (SISDAR). Semua Hakcipta Adalah Terpelihara® 2017
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis. Sebarang Pertanyaan Sila Emailkan Kepada sukpls@perlis.gov.my